Aku nak share entry ni
Aku rasa mewakili sebahagian besar pasangan yang masih belum mempunyai anak setelah berkahwin untuk beberapa lama. Semoga kalian yang membacanya dapat mengerti..
************
Tahu maksud hati walang?
Dari Pusat Rujukan DBP
antara maksud hati walang adalah bersedih, hiba, dukacita, gelisah, suram, rawan
dan semua yang semaksud dengan kesedihan.
Kami berhati walang.
Lama aku berniat nak tuliskan entry sebegini.
Dalam fikiran, entry begini patut diletakkan dalam 'rumah' khas itu tapi kali ni
aku rasa seharusnya aku kongsi dan luahkan di sini. Sebaiknya perasaan walang
ini sesekali dikongsi bersama.
Kami berhati walang.
Kami tahu kami kuat utk hadapi semua ini,
kerana itu lah kami di pilih. We're the chosen one. Walau berhati walang, tapi
kami lah yg dipilih untuk menghadapinya oleh Allah. Kami redha kerana Allah
menguji sesuai dengan kemampuan hambaNya. Ini juga anugerah. Bukan semua dapat
merasai dugaan ini. Bukan semua mampu menangkis persoalan 'bila nak dapat anak?'
'bila nak mengandung?' 'bila nak ada baby'. Seawal sebulan dua usia perkahwinan
lagi soalan itu ditanya. Diteruskan hinggalah usia perkahwinan menginjak ke satu
tahun. Satu usia yg pada orang lain sepatutnya sudah mula mengendong bayi
sendiri. Tapi tidak pada kami. Kami yang berhati walang. Dimana saja soalan itu
ditanya. Ketika sama-sama memilih lauk di cafe, disinggung bahu - soalan itu lah
ditanya. Ketika dalam lif untuk naik ke tingkat masing-masing, masih sempat
bertanya. Di depan cermin di dalam tandas. Dimana saja ada peluang. Apa jawapan
utk bila? bila? bila? Kami yang berhati walang sememangnya tiada jawapan pada
persoalan bila itu. Apa mampu kami jawab? Ada kalanya kami hanya tersenyum
sumbing. Adakala kami melontarkan sedikit kata-kata sinis bilamana tak tertahan
lagi. Tapi, jauh di sudut hati, sememangnya walang dengan soalan itu. Jadi,
tidak semua berpeluang untuk menjadi tempat yang ditujukan soalan itu. Hanya
kami, yang berhati walang, tapi semangatnya kuat. Allah berikan dugaan pada
kami.
Kami berhati walang.
Allah itu Maha Mengetahui. Ketika menemankan
emak di hospital 2 bulan lepas, berkenalan dengan seorang yg duduk di sebelah
katil mak. Kelihatan dia agak sihat. Menurutnya, dia pregnant dan bleeding.
Masuk hospital utk diberi pengawasan. Apa yang memeranjatkan ini adalah kali ke4
dia mengandung, dan anak hanya ada seorang. Maksudnya. 4kali pregnant dengan
2kali keguguran, hanya satu yang berjaya dilahirkan dan kandungan keempat ini
pun perlu berjaga jaga. Di tahan di wad, sentiasa 'diseluk' oleh doktor. Aku
terdiam seketika. Ujian nya lebih berat dari aku. Kalo jadi pada aku entah lah.
Menahan sakit itu satu, menahan kekecewaan keguguran? Sebab itu lah Allah
turunkan ujian sesuai dengan kemampuan kita.
Kami berhati walang.
Terkadang kami rasa semangat kami hilang bila
melihat seorang demi seorang rakan yang turut sama naik pelamin telah mula
menambah anak. Yang kawen setahun selepas pun anak dah pandai membaca ABC. Bukan
itu saja, yang kawen selepas empat tahun kami berkahwin pun sedang menunggu hari
menyambut kelahiran bayi. Apatah lagi, yang seangkatan sama sebaya semuanya
telah update status 'tak sangka anak dah masuk darjah 1' awal Januari lalu. Hiba
rasanya melihat status sebegitu. Terasa sungguh kekurangan diri ini. Hati yang
walang bertambah walang. Tapi.. ingat.. kami adalah yang terpilih. Mereka tak
merasa begini, sebab ini bukan 'nikmat' Allah berikan pada mereka. Sabar. Pasti
ada hikmahnya.
Kami berhati walang.
Tersentuh rasa hati bila ada yang mengatakan
'ini mesti orang yang takde anak yang cakap ni' tatkala ada isu yang membuat
hati ibu sensitif. Kami yang berhati walang ini dijadikan mangsa. Adakah orang
yg ada anak semuanya berhati mulia, tak pernah menuturkan sesuatu yang luar
jangkaan. Yer, kami memang tiada anak, tapi kami bukan tiada perasaan belas.
Perasaan ihsan. Perasaan kasih. Mana mungkin kami tega, senang lenang melihat
anak-anak yang sakit, yang menderita. Mungkin tak sengaja. Tapi... seeloknya
jangan lah menuduh terus kepada kami yang tiada anak ni sepertinya kami ini
langsung tak punya peri kemanusiaan.
Kami berhati walang.
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar. Ada sesetengahnya mungkin tak terniat untuk mewalangkan hati
kami, tapi kami mohon, fahamilah, tidak banyak sedikit pun sudah cukup. "Sejak
ada anak, langsung tak berpeluang menonton tv. Anak asik nak tgk katon" balas
sang rakan ketika kita asyik bercerita tentang drama bersiri yg kita ikuti. Kami
berhati walang. Terkadang kami sensitif. Terkadang kami tersilap tafsir.
Menafsirkan kata-kata tersebut hanya nak menyampaikan yang kami tiada anak ni
punya lebih masa. Lebih baik ada anak dari menghabiskan masa menonton, begitu?.
Kami berhati walang. Tersentuh hati tiba-tiba. Tapi, aku sendiri baru je ke
rumah teman karib zaman sekolah. Jam di dinding menghampiri jam 5 petang sewaktu
aku tiba ke rumahnya. Melihat di skrin tv - One HD. Bukan Disney Channel mahupun
Ceria. 2 orang anaknya, seorang 7 tahun dan seorang 4 tahun - asik bermain
sesama sendiri. Katanya "aku suka tgk citer Korea ni, susah nak tgk waktu lain
sbb mmg dia takde ulang dah". Sambil melayan kami sebagai tamu, matanya tak
lepas dari menonton cerita kegemarannya itu. Dalam perjalanan pulang, kami suami
isteri sempat bercerita sesama sendiri "anak dia tak kesah nak tgk katon pun
yer". Itu kisah sahabat aku. Kisah abang aku juga begitu. Anaknya didisplinkan
utk menonton karton hanya pada waktu siang. Dan malam remote hanya di bawah
kawalan ayah mereka. Anak kita - kita yang mencorakkan. Yer, aku tahu, pasti ada
yg mencemuh "tiada anak, kau boleh cakap lah" Terpulang.. terkadang kita tak
boleh angkuh dengan apa yg kita ada.
Kami berhati walang.
Memang. Kami ini boleh dikategorikan sebagai
terlalu sensitif. Cakap macam tu pun tak boleh, cakap macam ni pun tak boleh.
Sentap. Terasa. Tahu program Kembang Sa-Taman yang pernah disiarkan di Astro
Warna - memaparkan kisah keluarga yang takde anak? Digambarkan suami isteri asik
berlari2 sekeliling rumah. Lama kelamaan menjadi bosan. Si bapa mertua pula
belikan jamu utk dimakan oleh si isteri. Pada yang bukan berhati walang seperti
kami, kisah itu kisah biasa. Sekadar lawak jenaka. Tak perlu diperbesarkan.
Tapi, bagi kami, ini sesuatu yang membuat hati kami bertambah walang. Mengapa
digambarkan begitu. Kami tidak se bangang itu yg asik berlari2 keliling rumah.
Ingat kami tak berusaha?
Kami berhati walang.
Kami tak meminta apa-apa. Cuma, mohon, fahami
lah kami. Jangan lah ada perasaan angkuh dengan kami. Janganlah cuba
membandingkan sesuatu cerita yang lain dengan anak. Janganlah bila ada cerita
berkenaan novel, anak juga diceritakan. Janganlah bila ada cerita tentang makan
meatball di IKEA, anak juga diselitkan. Kami tahu, harus lah insan normal bangga
dengan rezeki Allah itu. Anak, siapa tak bangga. Tapi, itu juga rezeki dan
nikmat dari Allah yang boleh ditarik dalam sekelip mata. Kiranya ditafsirkan
bahasa lain bilamana ada yang berkata 'dah ada anak, tak sempat nak membaca
novel' seolah menyesal ada anak dan tidak dapat membaca novel? Orang lain ada
yang beranak pinak, sempat saja baca. Itu yang terkadang aku tafsirkan, ada
sesuatu yang ingin diperbandingkan. Tak boleh nak buat sesuatu hanya kerana ada
anak. Kasihan.
Kami berhati walang.
Mungkin, ada yang terasa hati dengan penulisan
kali ini. Ada yang mencemuh. Mencebik. Mengatakan aku ni terlalu sensitif.
Sentap. Tapi, sebenarnya persekitaran ini lah yang membuatkan kami berhati
walang ini makin sensitif. Tiada anak diandaikan seolah satu kekurangan, musibah
yang amat dasyat. Seolah olah menjadi golongan yang cacat.
Kami berhati walang.
Pada yang mendoakan kami agar kami berpeluang
menjadi ibu dan bapa, kami ucapkan terima kasih tak terhingga. Semoga doa kalian
dimakbulkan Allah. Kami juga teringin nak rasa bagaimana tak sempatnya nak baca
novel bila dah ada anak, kami juga tak kesah tv kami di conquer oleh siaran 611,
612, 613 dsbnya, kami juga tak kesah bila kami tak dapat makan meatball lagi,
kami juga teringin nak bawa anak-anak berjalan bila hari cuti. Siapa tak sedih,
bila melihat rakan seangkatan sudah menghantar anak ke sekolah.Tapi kami..
masih menghitung hari, masih ke sana sini berusaha untuk mendapatkan anugerah
berharga itu. Sebak bila semuanya dibandingkan dengan anak. Kami tahu kami tiada
anak. Kami tahu kami tidak pernah merasai nikmat mengandung, melahirkan. Kami
tahu kami tak pernah bangun malam menyusukan anak. Kami tahu, kami masih belum
berpeluang untuk itu semua. Kami mohon juga, terkadang jangan lah terlalu
membandingkan anugerah yang kami masih belum berpeluang itu dengan segala apa yg
ada di dunia ini. Kami tahu, ianya tak ternilai. Memang tak ternilai. Jadi,
kami mohon, usah dibandingkan lagi. Sememangnya ianya tak sama dengan
keseronokan membaca novel, keseronokan pergi bercuti, keseronokan menonton
wayang dan segala keseronokan yang ada dimuka bumi ini. Aku yang berhati walang
ini bersungguh memohon.
Sememangnya, kami berhati walang kerana masih
belum belum diberikan peluang menjadi ibu dan ayah.
Tapi kami tahu, kami antara yang
terpilih.
**************
2 Rakan Blogger Yang Rajin Komen:
sy suka ayat awak. kita sbg parent yg ptt control anak tgk tv bukan bg anak konker tv.
ermm mmg luahan hati pn stoberi ni mewakili isi hati 'kami' yg terpilih ni
Post a Comment